BEIJING: Lapangan Terbang Taoyuan Taipei memaklumkan pihaknya menerima ancaman bom yang bertujuan untuk mengganggu lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi yang dikatakan mungkin akan melawat Taiwan, lapor Sputnik memetik Global Times pada Selasa.

Pihak lapangan terbang menerima sepucuk surat memaklumkan ancaman bom pada pagi Selasa, hari yang sama Pelosi dijangka tiba.

Pentadbiran lapangan terbang segera memaklumkan perkara berkenaan kepada perkhidmatan keselamatan pelabuhan udara, kementerian pengangkutan, Pentadbiran Aeronautik Awam serta polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengesan pengirim.

Tiada tindakan pengosongan di lapangan terbang diumumkan, tetapi pekerja digesa mengambil langkah berjaga-jaga tahap maksimum.

Sementara itu, tentera Taiwan meningkatkan keupayaan unit tempurnya di tengah-tengah spekulasi mengenai lawatan Pelosi ke pulau itu.

Jelajah Asia Pelosi, yang merangkumi lawatannya ke Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun, menarik perhatian antarabangsa kerana beliau dikatakan akan singgah di Taiwan.

Andai spekulasi itu menjadi kenyataan beliau bakal muncul sebagai ahli politik AS berpangkat tertinggi yang melawat pulau itu sejak 1997. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image