BANGKOK: Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand bulan depan mencetuskan harapan agar beliau dapat membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand, lapor berita tempatan.

Ahli akademik dan pakar yakin bahawa lawatan Anwar dijangka menyumbang momentum kepada proses dialog damai selatan Thailand.

“Anwar mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang pergolakan di selatan berbanding pemimpin sebelumnya,” kata mereka.

Memandangkan Malaysia telah bangkit daripada krisis politik baru-baru ini, kepimpinan baharu barangkali berminat untuk memulakan dasar baharu mungkin termasuk penglibatan serius dalam membantu menyelesaikan masalah pemberontakan di selatan Thailand, lapor Bangkok Post.

Malaysia turut berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun lamanya yang meletus pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Jan 2023.

Beliau menggantikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang tamat perkhidmatannya sebagai ketua fasilatator pada 31 Dis 2022.

Pensyarah kanan Institut Kajian Keamanan di Universiti Prince of Songkla, Penolong Prof. Dr Srisompob Jitpiromsri berkata rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dapat diperbaiki denganAnwar selaku perdana menteri.

“Beliau (Anwar) memahami isu pemberontakan dengan lebih mendalam dan mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk di wilayah selatan sejak sekian lama,”

“Syarat rundingan untuk Thailand secara relatifnya utuh tanpa perubahan kerajaan,“ katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Sementara itu, bekas pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti Chulalongkorn Panitan Wattanayagorn berkata kebarangkalian rundingan damai membuahkan hasil kini lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Anwar rapat dengan ramai tokoh di Thailand termasuk ahli politik, pegawai kanan tentera dan ahli akademik serta masyarakat sivil.

“Rundingan damai boleh menarik lebih banyak kumpulan pemberontak selain BRN.

“Melihat kepada gambaran yang lebih luas, terdapat harapan yang tinggi (untuk rundingan damai) walaupun tetap berhati-hati untuk mengelakkan kekecewaan,“ katanya.

Ahli akademik bebas dan penyelaras Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) untuk keamanan dan pembangunan di kawasan sempadan selatan, Mansor Salae berkata Anwar boleh memainkan peranan penting dalam mencapai kemajuan dalam rundingan damai.

Walaupun Malaysia mungkin mengalami masalah dalam melaksanakan peranannya sebagai fasilitator kerana politik dalaman, ia tidak menjadi masalah untuk rundingan damai antara kerajaan Thailand dan gerakan pemisah BRN.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan Zulkifli dijangka mengadakan perbincangan dengan Jeneral Wanlop yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) pada 28 Feb.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian. Rundingan diteruskan kemudian tanpa parti utama termasuk BRN.

Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN disambung semula pada tahun 2019 dengan kemajuan yang konkrit dan ketara telah dicapai yang menimbulkan harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah selatan Thailand.

Statistik oleh kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan keganasan yang bermula pada 2004 di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla yang terletak di selatan Thailand sehinga kini sudah meragut lebih 7,000 nyawa. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image