KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,713 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) telah diselesaikan sejak 2018 hingga Januari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Parlimen) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan dan 3,060 kes telah dituduh dalam mahkamah.

Justeru, beliau berkata penggubalan Akta 792 adalah langkah yang baik dalam membantu polis menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta tersebut berbanding undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan.

“Ini kerana, sering kali kes kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes yang unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa. Oleh yang demikian, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak,“ katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta 792 dikuatkuasakan.

Azalina berkata kerajaan sedang dalam proses membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) bagi memperuntukkan mengenai pendengaran khas sebagai suatu lagi mekanisma iaitu keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

Katanya, pindaan ini juga akan memperuntukkan pemberian kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan-soalan tidak wajar diajukan kepada kanak-kanak bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak itu dapat memberikan keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa.

“Semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah (criminal justice system) bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak (child friendly),“ katanya.

Sementara itu dalam sidang media, Azalina berkata pindaan kepada Akta 792 akan berupaya menangani ancaman baharu selaras dengan perkembangan teknologi.

“Dalam akta tersebut, ada berkenaan pornografi kanak-kanak. Jadi sekarang kita akan meminda perkataan pornografi itu kepada bahan penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, katanya pindaan juga akan dilakukan pada Seksyen 15 akta tersebut dengan memasukkan tambahan kesalahan melibatkan seks dalam penstriman langsung dan peras ugut seks.

“Kita mencadangkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 untuk kesalahan pengstriman langsung seks dan 10 tahun penjara bagi kesalahan peras ugut seks,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image