IPOH: Polis menahan seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol selepas mengamuk dan memukul dua orang pegawai rendah polis di hadapan Pos Pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya telah menerima makluman berkaitan kejadian itu kira-kira 12.10 berhubung lelaki tempatan berusia 30 tahun berkenaan yang terlanggar pengadang jalan berhampiran pos pengawal sebelum mengamuk semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya.

“Akibat serangan lelaki tersebut, kedua-dua pegawai rendah polis terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Lelaki itu kemudian ditangkap oleh pasukan polis yang sampai memberi bantuan di tempat kejadian,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek kini direman selama tiga hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image