IPOH: Seorang lelaki yang memasuki kawasan hutan selama enam hari akibat tekanan kerja diselamatkan bomba setelah mangsa menghubungi talian kecemasan awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad pihak bomba menerima panggilan pada pukul 11.44 malam tadi dan bergegas ke lokasi yang dimaklumkan mangsa.

Katanya Mohamad Suhairy Mohamed, 41, menaiki bas dari Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu menuju ke Terminal Amanjaya disebabkan tekanan di tempat kerja dan mengambil keputusan untuk hidup di dalam hutan.

Bagaimanapun katanya, akibat lapar dan tersesat, mangsa mengambil keputusan menghubungi talian kecemasan 999 melalui telefon bimbitnya.

“Mangsa memakai baju berwarna oren, berseluar jeans biru dapat dihubungi melalui telefon tetapi tiada rangkaian Internet.

“Mangsa memasuki hutan melalui PPU TNB berhampiran Jabatan Audit Negara, dan ketika sampai di lokasi kejadian, komander operasi telah menghubungi mangsa dan mangsa memaklumkan dia mendengar kehadiran jentera bomba dari dalam hutan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya komander operasi kemudian mengarahkan anggota bertugas membuat pencarian awal di kawasan hutan dan mangsa dijumpai pada pukul 2.46 pagi pada jarak 3.2 kilometer, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image