KUANTAN: Seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila kerugian RM158,800 selepas diperdaya dengan penjualan kereta terpakai tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 32 tahun yang juga pengusaha kenderaan terpakai mendakwa, telah diperkenalkan rakannya kepada seorang lelaki yang kononnya akan membantu mendapatkan lapan buah kereta jenis Toyota, Perodua dan Honda, untuknya.

“Suspek lelaki itu dikatakan telah bertindak sebagai orang tengah mencari kereta terpakai untuk dibekalkan kepada mangsa, dan berjanji akan menghantar kesemua kereta bernilai RM158,800 itu.

“Mangsa telah bersetuju dengan tawaran berkenaan dan membuat pembayaran secara berperingkat iaitu sebanyak 12 kali ke dalam akaun peribadi suspek bermula Jun sehingga awal Ogos 2020,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, selepas Ogos 2020 Mohd Wazir berkata mangsa gagal menghubungi lelaki terbabit dan mengambil masa bertanya rakan-rakan yang lain perihal suspek sebelum berasa tertipu serta membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. — Bernama