PUTRAJAYA: Seorang warga Pakistan hari ini terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas pertuduhan mengedar dadah ke atasnya digantikan dengan memiliki dadah.

Sardar Ali Hassan Muhammad, 47, yang merupakan seorang buruh binaan sebaliknya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan kerana memiliki 1909.8 gram heroin dan “monoacetlymorphines”, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof and Datuk Rhodzariah Bujang menukarkan sabitan kesalahan mengedar dadah kepada memiliki dadah selepas Timbalan Pendakwa Raya Baizura Kamal memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersetuju menggantikan pertuduhan.

Ong yang mempengerusikan panel hakim itu mengarahkan hukuman penjara 20 tahun Sardar Ali bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 Ogos 2014.

Menurut kertas pertuduhan , Sardar Ali melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor pada pukul 1.10 tengah hari 7 Ogos 2014.

Pada 27 Okt 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya kerana mengedar dadah.

Sardar Ali gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Ogos, 2020. - Bernama