LHDNM tiada kaitan dengan dakwaan kebocoran data pembayar cukai melalui myIDENTITY

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menafikan laporan dalam satu portal yang mendakwa empat juta data yang bocor diperolehi daripada laman sesawang LHDNM melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sebagai makluman, LHDNM hanya merupakan pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.

Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati TIDAK berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa. LHDNM juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.

LHDNM memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDNM adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.

LHDNM amat kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana ia boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

LHDNM juga ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini dan turut tidak menolak kemungkinan ia dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan dan menipu masyarakat.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image