LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) menampilkan kelainan dalam mendekati pengunjung untuk ‘melayari’ dunia maritim.

Buat pertama kalinya, dua feri yang boleh memuatkan antara 30 hingga 35 orang setiap satu itu disediakan secara percuma kepada pengunjung untuk melihat secara dekat kapal perang yang ditempatkan di Resort World Langkawi, Kedah di sini sempena edisi ke-16 LIMA yang diadakan pada 23 hingga 27 Mei.

Ketua Sekretariat Segmen Maritim LIMA ‘23 Laksamana Pertama Yusne Mokhtar berkata feri tersebut akan membawa pengunjung ke kawasan perairan yang menempatkan 40 kapal perang yang menyertai pameran ini.

Menurutnya, sebanyak 20 kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), enam daripada agensi kerajaan lain dan 14 kapal dari negara luar seperti Brunei, Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Itali, China, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

“Hanya dua kapal sahaja yang boleh ditempatkan di jeti dan ia akan digantikan setiap hari, jadi pengunjung tidak dapat melihat semua kapal perang yang menyertai pameran ini.

“Bagi memberikan pengalaman kepada pengunjung, kita sediakan feri untuk mereka melihat dengan lebih dekat kapal perang dari dalam dan luar negara yang berada di kawasan laut,“ katanya kepada Bernama di Pusat Koordinasi Maritim di sini, hari ini.

Yusne yang juga Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut berkata feri tersebut akan membawa pengunjung selama 40 minit bagi menikmati pemandangan kapal perang secara dekat.

Katanya pengunjung perlu mengimbas kod QR di pameran tersebut dan memilih antara empat waktu perjalanan yang disediakan iaitu dari pukul 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.

“Setakat tiga hari pameran ini diadakan, kita menerima pengunjung seramai 500 sehari dan mungkin akan menambah feri atau waktu perjalanan sekiranya bilangan bertambah,“ katanya.

Seorang pengunjung yang dikenali sebagai Nuril, 40, berkata ini adalah kali ketiga dia hadir di LIMA dan teruja apabila diberikan kesempatan melihat kapal perang dengan lebih dekat.

Pengurus Jualan di Johor itu sanggup hadir seorang diri kerana minat untuk melihat aset pertahanan dari dalam dan luar negara yang dipamerkan di LIMA ‘23.

“Ini kali pertama kami pengunjung dapat naik feri dan melihat kapal perang, ini seperti belayar secara percuma dan melihat kapal perang yang ditempatkan di kawasan laut,“ katanya.

Berkongsi perasaan teruja, Sherwin David Nunis, 45, berkata segmen maritim pada pameran kali ini berlainan apabila pengunjung dapat melihat kapal perang dengan lebih dekat.

“Saya sangat teruja dengan pameran ini selain demonstrasi yang ditampilkan oleh agensi keselamatan negara,“ katanya yang sudah dua kali hadir pada pameran LIMA.

LIMA ‘23 bagi segmen maritim mula dibuka secara percuma kepada orang ramai sejak hari pertama 23 Mei lepas sehingga 27 Mei dengan menyediakan pelbagai program menarik antaranya demonstrasi menyelamat daripada agensi keselamatan negara antaranya seperti TLDM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image