KUANTAN: Tidak pernah terlintas di fikiran kehilangan adik yang mesra disapa ‘Lok’ dalam sekelip mata dan lebih memilukan tiada lagi ucapan selamat hari jadi yang akan diterima seperti tahun sebelum ini.

Siti Jainah Basiron, 45, kakak kepada Allahyarham Muhammad Rosli Ibrahim, 33, yang maut dalam kemalangan bersama isteri serta tiga anaknya semalam berkata kali terakhir dia berhubung dengan adiknya pada awal pagi kejadian.

“Saya ada mesej di WhatsApp Lok semalam dan dia membalas pada 9.27 pagi memaklumkan akan ke Pahang kerana ada urusan di pejabat tanah Pekan sebelum ke Chini yang juga kampung isterinya.

“Kami memang selalu berhubung kadang-kadang telefon atau panggilan video dan kali terakhir kami berjumpa ketika berkumpul pada Aidilfitri baru-baru ini di Kuala Kangsar, Perak,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, Muhammad Rosli bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun dua bulan maut di tempat kejadian.

Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corrola dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.

Suri rumah itu turut memaklumkan dia mendapat perkhabaran duka mengenai adik kesayangannya pada sekitar 5 petang semalam daripada kakak kedua mereka yang menetap di Perak.

Menurutnya, Muhammad Rosli yang juga pemandu bas dan anak ke-10 daripada 13 beradik sering singgah di rumahnya di Kota Tinggi sekiranya bertugas di Johor.

“Kalau ke Johor arwah mesti singgah rumah kerana kami agak rapat dan hari ini adalah ulang tahun saya ke-45, tiada lagi ucapan dan doa daripada Lok,” katanya.

Siti Jainah berkata jenazah adiknya sekeluarga akan dibawa ke Kampung Labu Kubung Kuala Kangsar, Perak untuk dikebumikan. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image