KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi Ahad lepas kerana disyaki mencuri sejumlah kereta lama untuk dijual sebagai besi buruk.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata susulan penahanan itu polis turut menemukan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas di Bandar Baru Ampang.

“Sabtu lepas (18 Jun) kira-kira 8 pagi, seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu van mendapati kereta jenis Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant miliknya yang diletakkan di bahu jalan Bandar Baru Ampang hilang dipercayai dicuri.

“Susulan itu, polis pada keesokan harinya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun di sekitar Ampang dan suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis menjual besi buruk lalu menemukan sebuah lori dan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata polis seterusnya menahan empat lagi individu berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk seorang wanita di sekitar Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang.

Tiga daripada mereka termasuk wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama