SEARCH

Lima lelaki disyaki terlibat judi haram

29 Jun 2020 / 12:05 H.

BUTTERWORTH: Polis menahan lima lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan loteri dan judi dalam talian haram menerusi Op Dadu dalam serbuan di empat premis sekitar Butterworth, sejak semalam hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bermula pukul 1 tengah hari semalam hingga 2 petang hari ini, pihaknya menahan lima lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun dan merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan serta sejumlah wang tunai.

“Bertindak dari maklumat dan risikan, polis menjalankan Op Dadu sebelum membuat pemeriksaan di empat premis perniagaan tersebut dan ada yang berselindung di sebalik kedai menjual tambah nilai telefon bimbit.

Hasil serbuan itu mendapati tiga daripada premis tersebut menjalankan kegiatan perjudian loteri haram manakala sebuah lagi menawarkan judi dalam talian,“ katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya, semua mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) akta yang sama. - Bernama

email blast