BALIK PULAU: Lima sahabat nyaris maut selepas kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 30.5 meter di Jalan Teluk Bahang, berhampiran Titi Kerawang di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.03 petang sebelum jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang digegaskan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati kereta dinaiki lima lelaki berusia 20 hingga 21 tahun itu telah terjunam ke dalam gaung tersebut dan semua mangsa terperangkap di dalam kenderaan itu,” katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera ringan berjaya dikeluarkan dari gaung itu dengan menggunakan peralatan khas dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Katanya operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 4.44 petang.

Dalam kejadian berasingan, Mohd Hafiz Hafizal berkata lapan unit rumah pangsa di Blok A, Taman Seri Delima di Juru dekat sini terbakar dalam kejadian kira-kira 3.30 petang tadi.

Beliau berkata rumah berkeluasan 56 meter persegi seunit itu terbakar kira-kira 40 peratus namun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

“Ketika bomba tiba, bahagian bumbung tujuh unit rumah telah terbakar manakala sebuah rumah lagi terbakar pada bahagian dalam rumah dan bumbungnya,“ katanya.

Menurutnya pihak bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pada 6 petang manakala punca dan jumlah kerugian sedang disiasat. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image