KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi Laluan Ampang kini sedang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemerhatian awal menunjukkan berlaku kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan tersebut.

Menurut kenyataan itu, jurutera Rapid Rail bersama-sama dengan pakar struktur sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.

“Atas faktor keselamatan, Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan,“ menurut kenyataan itu, hari ini.

Susulan itu, kelajuan perkhidmatan LRT Ampang dikurangkan dan ini menyebabkan kelewatan perkhidmatan sehingga sembilan minit, dalam daerah pusat perniagaan dan 18 minit, luar daerah pusat perniagaan.

Menurut Rapil Rail tren-tren dari stesen Putra Heights akan berpatah balik di stesen Plaza Rakyat; tren-tren dari stesen Sentul Timur berpatah balik di stesen Bandaraya, manakala perkhidmatan bas perantara atau ulang-alik disediakan antara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.

Selain itu, perkhidmatan bas alternatif juga diaktifkan bagi menampung penumpang yang berulang alik antara stesen Bandaraya ke stesen Plaza Rakyat dan sebaliknya, serta dari stesen Sentul Timur ke stesen Bandaraya dan sebaliknya.

“Anggota polis bantuan juga dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan. Rapid Rail memohon maaf atas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami penumpang,“ menurut kenyataan itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image