KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) optimis dengan prospek sektor perjalanan pada suku keempat tahun ini susulan lonjakan 74 peratus pergerakan penumpang domestik pada September.

Pengendali lapangan terbang itu berkata trafik tinggi tersebut adalah berikutan kejayaan Gelembung Pelancongan Langkawi dan kemajuan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Malaysia Airports optimis trend pelancongan yang memberangsangkan itu akan berterusan susulan penarikan balik sekatan perjalanan rentas negeri dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB berkata, keseluruhannya, kumpulan itu menyaksikan peningkatan 55 peratus jumlah pergerakan penumpang di Malaysia pada September kepada 458,000 penumpang

Pergerakan pesawat domestik meningkat kira-kira 20 peratus bulan lepas berbanding Ogos, mencatatkan lebih daripada 10,000 penerbangan.

Bagi asetnya di Turki, MAHB berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) merekodkan 2.7 juta pergerakan penumpang pada September.

ISG terus mencatatkan pemulihan kukuh disokong oleh peningkatan kadar vaksinasi di negara itu dan kelonggaran sekatan di Eropah. — Bernama