PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel lima hakim pada pendengaran hari pertama rayuan Najib yang bermula pada 9.56 pagi.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc Datuk V. Sithambaram mewakili responden (pendakwa raya) manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik , Liew Teck Huat dan M. Rueben mewakili Najib selaku perayu.

Najib, 69, ditemani dua anak lelaki dan perempuannya iaitu Norashman, Mohd Nizar dan Nooryana Najwa.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan pada bulan ini (Ogos) iaitu 15 hingga 19 dan 23 hingga 26 untuk mendengar rayuan itu.

Pada Selasa, mahkamah menolak permohonan Najib untuk penangguhan rayuan itu dan mengarahkan prosiding diteruskan hari ini.

Mahkamah juga menolak permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRCnya untuk membatalkan perbicaraan tersebut.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohg Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Lebih 100 individu berbaju putih dipercayai penyokong Najib dilihat berkumpul di luar Istana Kehakiman. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image