PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak telah gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International Sdn Bhd bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ini selepas panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu setelah mendengar hujahan peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.

Panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun berkata mahkamah memutuskan bahawa Najib gagal melepasi tahap tinggi Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mengandungi undang-undang mengenai bukti baharu.

“Keseluruhan bukti tambahan yang ingin dikemukakan gagal memenuhi keperluan itu. Permohonan itu gagal mendedahkan sebarang perkaitan dengan keputusan Hakim Mohd Nazlan. Beberapa bukti akan tersedia semasa perbicaraan atau akan tersedia dengan penumpuan munasabah.

“Pada mulanya kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa ketersediaan bukti tidak tertakluk kepada penyampaian di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah sebaliknya sama ada bukti tersedia kepada pemohon semasa perbicaraan.

“Memandangkan peguam untuk SRC dan 1MDB adalah sama, dokumen itu tersedia dan oleh itu boleh dibangkitkan kepada Hakim Mohd Nazlan mengenai isu konflik yang didakwanya,” kata beliau.

Tengku Maimun berkata peranan Mohd Nazlan sebelum ini dalam Maybank diketahui umum dan akan terbuka kepada pemohon untuk membuat sebarang permintaan untuk pendedahan dokumen itu melalui tindakan selanjutnya.

“Pemohon bukan tidak tahu dan tidak diwakili. Tidak boleh menyatakan bahawa dia tidak boleh mendapatkan bukti tanpa usaha dipihaknya. Dalam proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam kenyataan daripada kakitangan Maybank dan juga daripada Hakim Mohd Nazlan, kami gagal melihat bagaimana bukti yang akan dikemukakan mereka berkait dengan pertuduhan terhadap pemohon.

“Kami tidak nampak bagaimana peranan Hakim Mohd Nazlan dalam Maybank sebelum ini boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC dan penubuhan SRC melalui tindakan pemohon sendiri.

“Oleh itu, kami dengan ini menolak permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan,” kata Tengku Maimun.

Selepas penghakiman dibacakan, Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

“Saya juga tidak sihat. Saya dengan rendah hati memohon penangguhan,” katanya.

Sithambaram berkata pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

“Mahkamah ini sudah dua kali menolak permohonan mereka, oleh itu, kini mahkamah mesti memutuskan perkara itu,“ kata beliau

Mahkamah menangguhkan prosiding buat sementara waktu sebelum memutuskan perkara itu.

Najib merayu terhadap sabitan dan hukumannya atas penyelewengan RM42 juta membabitkan dana SRC.

Rayuan berkenaan adalah yang terakhir bagi Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image