KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini telah menolak saman fitnah bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi tempatan Jason Jonathan Lo (gambar) terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhubung dua artikel yang disiarkan pada 2019 dan 2020.

Jason memfailkan saman itu pada Julai 2021 berkaitan artikel bertajuk ‘Former Telco CEO charged with trespassing, injecting drug into body’ dan ‘Court charges singer Jason Lo & colleague with CBT of RM200,000.’

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam keputusan yang disampaikan semalam memutuskan bahawa mahkamah mendapati tiada niat jahat dalam artikel terbabit sebagaimana yang didakwa oleh plaintif.

“Berkenaan artikel pertama yang dipertikai, membacanya secara keseluruhan akan membawa kepada kesimpulan bahawa plaintif telah didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menceroboh dan memasukkan dadah ke dalam badan. Selepas membacanya, mahkamah mendapati plaintif bukan menceroboh sebuah rumah semata-mata untuk memasukkan dadah ke dalam badan.

“Mengenai penggunaan ayat memasukkan dadah ke dalam badan berbanding mengambil dadah dengan menyuntiknya sendiri, adalah penting untuk mengambil maklum bahawa artikel pertama yang dipertikai adalah ditulis bagi memaklumkan orang ramai bahawa plaintif telah didakwa atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Malah adalah jelas daripada artikel itu plaintif telah mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua kesalahan dan dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya.

Menyentuh artikel kedua yang dipertikai, beliau berkata mahkamah mendapati selepas membacanya secara keseluruhan, boleh dilihat sejak awal lagi plaintif tidak mengaku bersalah dan ia dengan jelas menyatakan bahawa plaintif telah didakwa melakukan pecah amanah jenayah (CBT).

“Selain itu, artikel tersebut secara khusus menyatakan bahawa plaintif telah dibebaskan dengan jaminan RM30,000. Secara munasabah, ini tidak akan merumuskan bahawa plaintif telah mengaku bersalah. Mengambil kira keseluruhan artikel, ia menyangkal sebarang pemahaman bahawa plaintif telah mengaku melakukan jenayah itu,” katanya.

Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata sesiapa sahaja yang membaca keseluruhan teks itu akan memahami bahawa plaintif hanya didakwa namun tidak dinyatakan sebagai melakukan jenayah tersebut.

“Membaca artikel kedua sepenuhnya, mahkamah mendapati bahawa tindakan melaporkan Jason telah didakwa atas kesalahan atau jenayah tertentu, tidak boleh dikatakan sebagai memfitnah,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM15,000 kepada agensi berita itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan Jason sebagai plaintif dan tiga saksi defendan.

Perkara itu disahkan oleh peguam Adam Luqman Amdan yang mewakili Bernama. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image