PUTRAJAYA: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengemukakan keterangan lanjut dalam rayuannya berhubung saman sivil untuk memasukkan saham syarikat sebagai sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk M.Gunalan menolak permohonan Aminah Abdullah dengan kos RM5,000.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Lee berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Aminah untuk mengemukakan keterangan Datuk Zakri Afandi Ismail dalam rayuan itu.

Beliau berkata Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri dan telah subpoena beliau tetapi memilih untuk tidak memanggilnya atas sebab-sebab yang hanya beliau (Aminah) sahaja yang mengetahuinya.

Hakim Lee berkata keterangan yang diperlukan oleh Aminah hanya dalam bentuk pernyataan afidavit yang difailkan oleh Zakri dalam tuntutannya terhadap dua cucu Aminah sambil menambah bahawa mahkamah belum menilai bukti itu kerana perbicaraan masih belum dimulakan.

Terdahulu, peguam Wan Zafran Pawancheek yang mewakili Aminah, memohon mahkamah menerima afidavit Zakri yang memfailkan saman berasingan terhadap dua anak Jamaluddin -- Ikhwan Hafiz dan Nur Anis -- apabila bekas rakan perniagaan Allahyarham itu mahu pemulangan saham dalam tiga syarikat termasuk Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Sdn Bhd.

Beliau berkata keterangan Zakri menyokong keseluruhan kes Aminah sambil menambah bahawa perbicaraan kes saman Aminah terhadap cucunya telah berakhir selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya pada Ogos tahun lepas.

Wan Zafran memberitahu mahkamah mereka telah cuba menghubungi Zakri, orang kepercayaan Allahyarham Jamaluddin untuk memberi keterangan sebagai saksi tetapi memutuskan sebaliknya selepas beliau meminta bayaran yang terlalu tinggi iaitu RM24,800 untuk memberi keterangan.

Beliau berkata saman yang difailkan oleh Zakri menunjukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sepatutnya menjadi sebahagian daripada harta pusaka Jamaluddin.

Peguam Saheran Suhendran yang mewakili Ikhwan Hafiz berhujah keterangan Zakri tidak harus diterima kerana perkara itu masih belum dibicarakan. Beliau berkata Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri memberi keterangan dalam perbicaraan itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah untuk pengisytiharan bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan Sdn Bhd dimasukkan dalam senarai harta pusaka Jamaluddin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan Aminah untuk pengisytiharan bahawa enam juta saham dalam syarikat Alpine Motion dan dua saham dalam Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

Ibu berusia 87 tahun itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk pengisytiharan bagi memasukkan saham Alpine Motion and Ivory Insight sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya manakala dua cucunya pula membuat rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan saham Rantai Wawasan dimasukkan dalam harta pusaka itu.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaluddin, telah gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Dalam penyataan tuntutannya, Aminah mendakwa cucunya gagal memasukkan saham tiga syarikat - Rantai Wawasan, Alpine Motion dan Ivory Insight sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

Jamaluddin bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

Sementara itu, Zakri telah memfailkan tiga saman berasingan terhadap Ikhwan Hafiz dan Nur Anis bagi pemulangan saham tiga syarikat yang ditubuhkannya bersama Jamaluddin ketika mereka bekerja di EPE Power Corporation Bhd. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image