KUALA LUMPUR: Dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Bangladesh amat penting dalam persediaan pasukan negara menjelang Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Wanita 2022 di Binan City, Manila, bulan depan.

Ketua Jurulatih skuad Malayan Tigress, Jacob Joseph berkata kedua-dua perlawanan menentang pasukan ranking ke-146 dunia itu esok dan Ahad ini adalah bagi menguji pendekatan taktikal pasukan dalam menghadapi Kejohanan AFF yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 17 Julai.

Beliau berkata ia juga merupakan peluang berharga buat pasukannya yang menduduki ranking ke-85 dunia meraih pengalaman aksi berintensiti tinggi sebelum mengharungi cabaran sengit di kejohanan tersebut.

“Sejak lawan kita di AFF nanti sukar jadi kita terapkan taktikal lebih kepada bertahan dan serangan balas. Kita mahu pemain kita lebih berkeyakinan sewaktu bertahan.

“Bangladesh akan memberi tentangan yang hebat untuk anak buah saya dan ini bagus supaya kita dapat perbaiki segala kelemahan menjelang kejohanan sebenar,” katanya yang kini berada di Sylhet, Bangladesh ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada Kejohanan AFF, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A dan akan memulakan kempen saingan bertemu Singapura pada 4 Julai, Indonesia (6 Julai), Filipina (8 Julai), juara terbanyak dan naib juara edisi 2019 Thailand (10 Julai) dan Australia pada 12 Julai.

Mengulas lanjut, Jacob berkata senarai 30 pemain yang dipanggil untuk mengikuti kem latihan pusat dari 14 hingga 30 Jun ini merupakan kombinasi antara pemain muda dan berpengalaman.

“Saya campurkan dengan pemain senior untuk membimbing pemain muda. Kita harap dalam dua hingga tiga tahun pemain muda kita akan jadi lebih matang dalam mengendalikan tekanan semasa perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Jacob berkata kejayaan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon layak secara merit ke Piala Asia 2023 memberi inspirasi kepada pasukan wanita negara supaya turut melakar pencapaian membanggakan di masa hadapan.

Beliau berkata setiap anak buahnya sentiasa mahukan kemenangan dan sanggup memberikan segalanya untuk mengharumkan nama Malaysia.

Sebagai rekod, Malaysia gagal mara ke peringkat kalah mati Kejohanan AFF 2019 yang merupakan kali terakhir pertandingan itu dianjurkan selepas menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan mengumpul dua kemenangan daripada keseluruhan empat perlawanan.

Pencapaian terbaik pasukan wanita negara di Kejohanan AFF adalah pada edisi 2007 yang menyaksikan Malaysia mara sehingga ke peringkat separuh akhir. - Bernama