Malaysia bangunkan polisi kesihatan lelaki kebangsaan

PUTRAJAYA: Malaysia membangunkan polisi kesihatan lelaki kebangsaan dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan kaum lelaki serta menjadi negara keempat di dunia membangunkan polisi sedemikian selepas Australia, Brazil dan Ireland.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye (gambar) yang melancarkan Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan 2018-2023 di sini hari ini berkata pelan itu merupakan rangka kerja kesihatan ke arah meningkatkan kualiti kehidupan kaum lelaki memandangkan golongan itu mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah berbanding wanita serta turut terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.

Menurutnya, jangka hayat lelaki di Malaysia adalah ‘lima hingga enam’ tahun lebih pendek berbanding wanita, di mana seorang bayi lelaki yang lahir pada 2018 boleh hidup sehingga umur 72.7 tahun berbanding bayi perempuan yang boleh hidup sehingga 77.6 tahun.

Lee berkata antara penyumbang utama kematian pramatang dalam kalangan lelaki adalah penyakit kronik berkaitan kardiovaskular seperti sakit jantung dan angin ahmar, penyakit berkaitan paru-paru seperti bronchitis, pneumonia dan asma, serta kanser seperti kolorektal, diikuti kanser paru-paru dan prostat.

“Kesihatan lelaki juga harus diberi perhatian khususnya dari segi darah tinggi, kencing manis dan kolestrol. Kefahaman dalam kalangan lelaki juga perlu dipertingkat supaya menjauhi gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan pengambilan alkohol,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan polisi kesihatan kebangsaan itu.

Lee berkata strategi yang digariskan di bawah pelan tindakan kesihatan lelaki kebangsaan itu akan dilaksanakan dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.

Pada peringkat awal, katanya perkhidmatan kesihatan lelaki akan berpaksikan kesihatan seksual dan reproduktif lelaki seperti mana konsep pemantapan program kesihatan wanita.

“Fokus akan diberikan kepada pembangunan dan mengenal pasti masalah kesihatan seksual dan reproduktif yang secara tidak langsung akan mempunyai kaitan dengan kawalan penyakit tidak berjangkit yang lain seperti hipertensi, diabetes mellitus dan hiperkolesterolemia,” katanya.

Strategi jangka panjang pula antara lain melibatkan peruntukan yang mencukupi untuk meningkatkan saringan kesihatan dan intervensi bagi faktor risiko yang dikenal pasti dan keperluan sistem teknologi bersifat “mesra pelanggan” dalam meningkatkan kemudahcapaian serta pemantauan pesakit, katanya.

Memetik laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, Lee berkata peratusan lelaki menjalankan pemeriksaan kesihatan adalah rendah iaitu 34.9 peratus berbanding wanita iaitu 40.7 peratus.

“Perkhidmatan kesihatan sedia ada disaran menambah baik kefahaman dalam penjagaan dan masalah kesihatan lelaki yang biasa tidak diberi perhatian sepatutnya,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image