KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir meningkat di Johor walaupun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan ditutup manakala Pahang dan Sabah menurun, petang ini.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS meningkat kepada 2,660 orang setakat jam 2 petang ini, berbanding 2,511 orang pada jam 8 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu hanya tinggal enam daerah yang terjejas banjir selepas satu-satunya PPS di Muar ditutup pada jam 1.15 tengah hari tadi dan dua PPS di Segamat juga ditutup, menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.

Mersing masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 975 orang, diikuti Batu Pahat (736), Kluang (422), Kota Tinggi (420), Segamat (92) dan Tangkak (15).

Sementara itu, Sungai Endau, Mersing masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.77 meter.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas hanya 200 orang daripada 63 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 314 orang daripada 96 keluarga, pagi tadi.

Portal InfoBencana,Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan dua orang di Balai Raya Kampung Jawa.

Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan dengan 1,637 orang daripada 642 keluarga di lapan PPS petang ini, berbanding 1,664 orang daripada 651 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan mangsa paling ramai di Pitas melibatkan 1,363 orang daripada 565 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan membabitkan 231 orang (66 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di sebuah PPS.

Kenyataan itu memaklumkan satu PPS iaitu Rumah Kampung Cocos di Paitan ditutup petang ini manakala jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka kekal, Paitan dijangka menurun, manakala di Lahad Datu dijangka meningkat hari ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image