JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir kilat yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor menurun kepada 54 orang setakat 8 pagi ini berbanding 79 mangsa malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua PPS masih dibuka membabitkan daerah Pontian dan Kluang.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau di Kluang yang dibuka Ahad lepas, menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga setelah kediaman mereka di Kampung Sungai Linau dinaiki air.

“Sementara itu, di Pontian PPS dibuka di SK Melayu Raya melibatkan 32 mangsa yang berasal dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti,” menurut kenyataan itu.

Banjir kilat di negeri ini berlaku disebabkan hujan lebat turun melebihi dua jam sejak 10 pagi Ahad lepas. - Bernama