SEARCH

Mangsa banjir Johor kini meningkat kepada 941 orang

22 Jun 2020 / 13:00 H.

JOHOR BARU: Jumlah mangsa banjir di lima daerah di negeri ini meningkat kepada 941 orang merangkumi 227 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 915 orang daripada 222 keluarga pada malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata pertambahan mangsa melibatkan daerah Muar, Pontian dan Batu Pahat.

“Sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi setakat 8 pagi dengan Pontian kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 399 orang daripada 100 keluarga, diikuti Muar dengan 227 mangsa merangkumi 72 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Muar Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata daerah tersebut mengalami hujan lebat selama satu jam malam tadi berserta air pasang setinggi 1.7 meter hingga 2.2 meter, sekali gus menjadikan kawasan rendah berisiko untuk dinaiki air.

Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abas pula menjelaskan hujan renyai sehingga tiga jam selain air pasang di kawasan Peserai turut menyumbang kepada peningkatan mangsa banjir di situ.

“Pontian turut mengalami hujan lebat kira-kira tiga jam pada awal pagi tadi selain faktor air pasang,” kata Pegawai Daerah Pontian Zulkifly Mohd Tahir ketika dihubungi - Bernama

email blast