SIBU: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 adalah yang terbaik buat dirinya dan sudah tiba masanya untuk beliau bersara daripada politik.

Manyin yang merupakan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu berkata beliau sudah lama menabur bakti sebagai pendidik dan ahli politik.

“Saya memulakan kerjaya dan saya bekerja sebagai guru selama 25 tahun dan selepas itu sebagai ahli politik untuk tempoh 25 tahun juga, jadi saya bekerja sudah setengah abad.

Jadi ini lebih daripada mencukupi,“ katanya sambil menyatakan tiada kekesalan pada dirinya berbuat demikian.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian “International Sarawak Innovation Technology Exposition Malaysia” 2021 (i-SAINTEX 3.0) di Universiti Technology Sarawak (UTS) di sini hari ini.

“Semalam saya melihat semua orang (calon-calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)) dan Dr Annuar Rapaee (calon DUN Nangka) menerima surat watikah. Saya berkata kepada diri saya sendiri, saya tidak menyertai mereka dan ia adalah keputusan terbaik yang saya telah buat,” katanya.

Manyin, 77, yang mewakili DUN Tebedu selama lima penggal sejak 1996 telah memaklumkan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada bulan lepas untuk tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN12.

Beliau menyatakan rasa bangga kerana telah terlibat dalam dunia pendidikan dan sebahagian daripada Kerajaan Sarawak untuk satu tempoh yang lama untuk berbakti kepada rakyat dan negeri ini.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak yang juga Pengerusi UTS dan Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid. - Bernama