KUALA LUMPUR: Suasana suram melanda kem badminton Malaysia pada kejohanan Indonesia Masters selepas pasangan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir di separuh akhir, hari ini.

Pasangan nombor enam dunia itu, dikecewakan di separuh akhir buat kali kedua berturut-turut apabila tewas 14-21, 19-21 kepada gandingan nombor 11 dunia Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dalam pertarungan selama 51 minit di Istora Senayan, di Jakarta.

Walaupun pemenang pingat perak Kejohanan Dunia tiga kali itu mengawal pemainan set pertama, Pearly-Thinaah bermain dengan baik pada set kedua dengan mendahului hingga ke mata 15-15, tetapi gagal mengheret permainan ke set penentuan.

Pada aksi final esok, Fukushima-Hirota akan berdepan pasangan bukan pilihan dari China, Liu Sheng Shu-Zhang Shu Xian, yang mengejutkan pilihan keempat dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-11, 21-9 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, Pearly-Thinaah yang merupakan pilihan keenam, mengenepikan beregu China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan 21-10, 21-12 di suku akhir.

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, belum meraih sebarang gelaran sejak kejayaan di Terbuka Perancis 2022 pada Oktober lepas, manakala pada Terbuka India hujung minggu lepas mereka juga kandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Pearly-Thinaah merupakan satu-satunya wakil negara di separuh akhir kejohanan Super 500 itu, selepas beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan naib juara Terbuka India minggu lepas dan pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas di peringkat suku akhir, semalam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image