KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara Pearly Tan- M.Thinaah menempuh rali panjang sebanyak 211 pukulan berdepan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dari Jepun sebelum berjaya mengesahkan tiket ke suku akhir di kejohanan Masters Malaysia 2023 hari ini.

Gandingan negara yang turun selaku pilihan keenam kejohanan menyajikan aksi penuh mendebarkan di Axiata Arena apabila menang set pertama 21-18, namun pasangan Jepun yang juga juara Masters Orleans 2023 menang set kedua 8-21 mengheret ke set penentuan.

Aksi sengit turut berlaku pada set ketiga apabila pada satu ketika kedua-dua pasangan Pearly-Thinaah saling berbalas pukulan dengan pasangan Jepun itu sewaktu mendahului 16-14 sebelum rali panjang tersebut berpihak kepada mereka untuk mengutip mata ke-17 dan seterusnya mematikan usaha lawan mereka untuk ke suku akhir dengan kemenangan 21-19.

Pearly ketika ditemui pemberita memaklumkan meskipun menempuh perlawanan yang sengit namun ia membuahkan hasil apatah lagi mampu membolot mata pada aksi rali panjang terbabit.

“Saya tidak fikir untuk lakukan pukulan, ia adalah rali yang panjang dan saya tahu mereka sudah bersedia, jadi kami juga telah bersedia. Kami sedar kami letih tetapi lawan juga letih, dalam fikiran, kami hanya mahu memenangi rali itu jadi kami bersedia dari segi mental dengan baik dan saya sangat gembira kami memenangi mata itu,” katanya.

Dalam pada itu, Thinaah berkata beliau dan Pearly tekad untuk menebus kekecewaan tumpas di Masters Indonesia 2023 dengan gandingan Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota pada separuh akhir 21-14, 21-19.

Selepas menang tipis 21-19 dalam set pertama ke atas pasangan Korea Selatan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho, juara bertahan beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menang bergaya 21-19, 21-14 untuk ‘meloloskan’ diri ke suku akhir.

Menanti Aaron-Wooi Yik pada suku akhir adalah gandingan China He Ji Tang-Zhoa Hao Dong atau pemain Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang akan berentap malam ini.

“Hari ini kami lebih bersedia untuk lawan, di Piala Sudirman, baru sahaja kalah dengan Won Ho-Na Sung Seung, pada set pertama memang sangat sengit tapi bila menang set pertama memang kelebihan,” kata Wooi Yik.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk menundukkan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 19-21, 21-16, 21-13 dalam pertarungan rubber set berlangsung selama 57 minit.

Gandingan di kedudukan ke-26 dunia itu dijadual bertemu sama ada pasangan Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan atau pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang bertemu dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua hari ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image