SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) bagi membentuk pelan Tindakan Banjir Di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

MoU yang ditandatangani oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA Mohd Rashidi Ruslan mewakili MBSA dan Pengurus Besar Operasi Lebuhraya PROLINTAS Azmee Nin itu diadakan bertujuan melaksanakan pelan tindakan banjir yang memberi manfaat kepada penduduk sekitar serta pengguna laluan itu yang terjejas semasa banjir.

Mohd Rashidi berkata antara tindakan yang akan dilakukan oleh pihaknya ialah membina tanjakan (ramp) di laluan kecemasan dari kawasan Taman Sri Lembayung ke kawasan Rehat & Rawat (R&R) Tol Taman Sri Muda.

Menurutnya, pelan itu ialah hasil daripada sesi dialog yang diadakan pihaknya bersama dengan penduduk Taman Sri Muda yang menceritakan keadaan mereka yang tidak dapat menyelamatkan kenderaan masing-masing ketika peristiwa banjir besar tahun lepas.

“Ia akan mula dibina secepat mungkin pada bulan hadapan. Jadi kita telah bersetuju, rekaan pun kita dah siapkan dan akan dihantar kepada pihak PROLINTAS untuk dapat kelulusan dari segi rekaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di Wisma MBSA di sini hari ini.

Beliau berkata proses pembinaan tanjakan itu dianggarkan mengambil masa kira-kira dua minggu dan akan memudahkan penduduk sekitar khususnya di Taman Sri Muda mengalihkan kenderaan sebelum ditenggelami banjir selain mempercepat kerja-kerja menyelamat mangsa bencana itu.

“Sebelum ini, apabila amaran banjir diberikan, penduduk memang meletakkan kenderaan mereka di atas lebuh raya itu dengan bantuan peronda LKSA. Tapi perjalanannya agak jauh kerana mereka perlu keluar dari laluan utama Taman Sri Muda.

“Kita akan menggunakan sebahagian daripada lebuh raya LKSA, dengan kira-kira 500 kenderaan boleh diletakkan di sepanjang lebuh raya itu,“ katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rashidi memaklumkan laluan kecemasan berkenaan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh penduduk dan hanya boleh dibuka selepas mendapat arahan daripada Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Klang dan Ketua Polis Daerah Shah Alam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image