MEA bekerjasama dengan kementerian kesihatan kekang serangan virus

KUALA LUMPUR: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak virus corona (2019-nCoV) secara berkesan melalui pembiayaan pembangunan bagi meningkatkan kesediaan negara untuk menghadapi keadaan kecemasan dan wabak.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar), MEA memandang berat wabak yang menyerupai penyakit pneumonia yang telah menjejaskan China dan beberapa negara lain di rantau ini.

“Kedatangan Cuti Tahun Baru Cina kali ini dimulakan dengan kebimbangan mengenai risiko jangkitan berikutan peningkatan perjalanan di seluruh negara jiran, khususnya Malaysia,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MEA telah memperuntukkan sebanyak RM227 juta untuk 2020 bagi pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, MEA akan memastikan hospital dan klinik kesihatan terpilih yang telah dikenalpasti untuk tujuan pemeriksaan penyakit akan dilengkapi secukupnya dalam usaha pencegahan, kawalan serta pegesanan di kawasan yang berpotensi.

Pada 2019, MEA telah meluluskan penubuhan Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (CDC) dengan kos sebanyak RM500 juta bagi mencegah serta mengawal penyakit, menyiasat wabak dan ancaman kesihatan awam.

Projek ini sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang 2023, katanya.

Melalui penubuhan CDC, peranan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan akan terus diperkukuhkan untuk menangani ancaman wabak kepada kesihatan awam.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan keselamatan dan penjagaan kesihatan awam di atas usaha gigih dan pengorbanan mereka dalam memerangi wabak ini,“ kata Mohamed Azmin. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image