MALIAU BASIN: Pengamal media digesa membantu menyebarkan maklumat dalam menerangkan fungsi dan peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan (pix) berkata usaha itu penting kerana banyak pihak masih tidak mengetahui peranan APM sehingga ada yang keliru dengan kehadiran anggota dan pegawai agensi itu di sesebuah lokasi.

“Orang ramai hanya kaitkan APM dengan operasi-operasi seperti menangkap ular, memusnahkan sarang tebuan, dan operasi menyelamatkan ketika musim banjir.

“Namun, hakikatnya peranan dan fungsi yang dimainkan oleh APM sangat besar demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di negara ini,” katanya kepada pemberita pada Program APM bersama pengamal media Sabah di sini malam tadi.

Mohd Sallehhudin berkata APM juga berperanan melatih seramai mungkin rakyat dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam, selain melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, harta benda sekiranya berlaku bencana.

Katanya, APM juga merupakan petugas barisan hadapan yang turut memainkan peranan besar dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Sejak awal penularan COVID-19, APM telah dikerahkan dan antara tugas mereka adalah menyelia individu yang dikuarantin selama dua minggu di pusat-pusat kuarantin seluruh negara,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image