MELAKA: Kerajaan negeri Melaka mengenal pasti 32,800 individu daripada golongan B40 untuk menerima perkhidmatan bas percuma pada bila-bila masa tanpa had, di negeri berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata individu-individu berkenaan akan mendapat sekeping kad, bagi menggunakan perkhidmatan tersebut dalam masa terdekat.

“Senarai penerima perkhidmatan ini diambil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Ini merupakan antara perkara yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan negeri, selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Program ‘Touch Point’ Suruhanjaya Tenaga di Surau Kyai Hj Husin di Kampung Batu Puteh, Paya Dalam di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sembilan dan Melaka Nur Ali Za Omar.

Rahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata antara perkara yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan negeri di bawah portfolionya termasuklah pembelian aset-aset bas baharu.

Katanya antara lain termasuklah stesen tempat rehat bagi pemandu-pemandu e-Hailing dan penambahbaikan kemudahan kepada orang kurang upaya (OKU).

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata kerajaan negeri juga memohon sejumlah RM35 juta bagi membina jalan pintas ke Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) sepanjang 5 kilometer di Tambak Paya di sini, dalam usaha menyuraikan trafik.

Katanya peruntukan itu dimohon di bawah Rancangan Boleh Pinda Ketiga pada tahun hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sementara itu, Nur Ali Za berkata Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sembilan dan Melaka memperuntukkan sejumlah RM30,000 pada tahun ini, bagi melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kedua-dua negeri berkenaan.

Katanya ia membabitkan beberapa siri program ‘touchpoint’ agensi berkenaan bagi memastikan pendawaian elektrik di premis-premis terutama di kampung adalah selamat untuk orang ramai. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image