SANDAKAN: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (gambar) akan melawat Sabah dan Sarawak secara bergilir setiap bulan untuk mendapatkan maklumat dan meninjau status kemudahan sukan di negeri berkenaan.

Menurutnya, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau mahu KBS turut menjalinkan kerjasama erat dengan Sabah dan Sarawak.

“Saya telah memberikan komitmen setiap bulan, akan melawat sama ada Sarawak atau Sabah.

“Ini bermaksud dalam satu tahun, enam kali saya akan datang ke Sabah, enam kali saya akan datang ke Sarawak untuk melihat sendiri perkembangan fasiliti berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada kejohanan ragbi Borneo Sevens 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang sedang dilakukan KBS ialah menaik taraf kemudahan sukan negeri bagi pasukan bertaraf kebangsaan.

Justeru, katanya kementerian meminta setiap kerajaan negeri memilih satu stadium sukan untuk dinaik taraf dan KBS akan memberikan geran bagi penanaman rumput yang sesuai untuk pertandingan bertaraf antarabangsa dan kemudahan itu akan diselenggara oleh kerajaan negeri.

Menurutnya KBS juga memulakan usaha geran padanan bagi penganjuran sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang sedang dibahaskan di Parlimen.

Pada kejohanan Borneo Sevens selama tiga hari berakhir hari ini, pasukan kategori lelaki Borneo Eagles, yang diasaskan di Sandakan, muncul juara buat kali ketujuh selepas mengalahkan Hong Kong China Dragons 17-12.

Borneo Eagles dinobatkan juara kejohanan itu pada 2004, 2007, 2015, 2016, 2017 dan 2019.

Bagi kategori wanita, pasukan Eagles NZ 7s, yang juga diasaskan di Sandakan, muncul juara selepas menumbangkan Kazakhstan Rugby 22-10.

Juara kategori lelaki dan wanita masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai US$5,000 dan trofi, sementara pemenang tempat kedua masing-masing pulang dengan hadiah wang tunai US$2,500 dan trofi, yang disampaikan oleh Yeoh.

Seramai 16 pasukan bertanding pada kejohanan itu selepas tiga tahun ia tidak dianjurkan susulan pandemik Covid-19. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image