KUALA LUMPUR: Diplomat tertinggi Malaysia dan Korea Selatan menyatakan akan bekerjasama untuk mengukuhkan lagi hubungan rapat antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan Park Jin sepakat menyuarakan komitmen itu menerusi perbualan telefon pada Jumaat.

“Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan bilateral Malaysia-Korea Selatan dan membincangkan pelbagai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Kedua-dua menteri luar menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama bagi mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara,“ menurut Twitter kementerian itu.

Sementara itu, Agensi Berita Yonhap melaporkan perbincangan itu antara lain menyentuh mengenai memperkukuh hubungan dalam industri pertahanan dan infrastruktur.

Park turut memuji kerjasama terdahulu kedua-dua negara dalam pelbagai bidang sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1960.

Menteri Luar Korea Selatan turut menjelaskan mengenai strategi Indo-Pasifik Korea Selatan yang diumumkan baru-baru ini dan visi negara itu untuk mengukuhkan hubungan dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara.

Kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan bahawa pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara perlu ditangani secara bersatu dan tegas oleh masyarakat antarabangsa. - Bernama