Menteri Luar Singapura adakan lawatan ke Malaysia dari 17-19 Mei

PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Malaysia bermula esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, kedua-dua menteri dijadual mengadakan pertemuan bagi bertukar-tukar pandangan berkenaan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Semasa lawatan itu, Balakrishnan juga dijadual menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin; serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Lawatan kerja Dr Vivian Balakrishnan ini akan memberi peluang terbaik untuk Malaysia dan Singapura memperkukuh lagi hubungan baik dan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 2021, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak RM267.11 bilion (US$64.43 bilion), peningkatan 25.2 peratus, berbanding nilai direkodkan pada 2020. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image