MELAKA: Menu Rahmah yang menawarkan nasi, ikan atau ayam dan sayur dengan harga RM5 ke bawah yang dilancar kerajaan pada Selasa lepas, dilaksanakan tepat pada masanya ekoran kenaikan harga pelbagai barangan ketika ini.

Suri rumah, Akma Yusof, 48, dari Merlimau, Jasin berkata dia datang ke pasar raya Mydin semata-mata untuk mencuba set Menu Rahmah hari ini yang merangkumi nasi putih, ikan sambal dan kubis goreng serta air mineral.

“Memang berbaloi sangat, saya beli dua bungkus untuk dibawa pulang...kalau di luar harganya mesti lebih RM5...saya harap usaha seumpama ini akan dikekalkan untuk membantu rakyat terutama golongan B40,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Raya Mydin di Ayer Keroh di sini hari ini.

Penjawat awam Noor Solehah Mohd Nasir, 29, berkata menu itu mampu membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Inisiatif yang ditawarkan sangat berbaloi, bukan sahaja dalam set nasi tetapi juga minuman. Harganya juga boleh tampung perbelanjaan makan tengah hari untuk dua hari,” katanya yang biasa membelanjakan antara RM10 hingga RM15 sehari untuk makan tengah hari.

Anak kelahiran Kedah itu juga berharap lebih banyak kedai makan atau restoran akan turut menawarkan Menu Rahmah dan berharap inisiatif itu akan terus dilaksanakan.

Juliana Samini, 42, pula berpendapat Menu Rahmah ini sangat membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian.

“Saya terpaksa makan tengah hari di luar kerana tidak sempat membawa bekal, biasanya saya akan membeli makan tengah hari pada harga antara RM10 hingga RM12 sehari...apa yang saya lihat Menu Rahmah ini amat membantu rakyat,” kata penjawat awam itu.

Pada Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan miskin. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image