SEARCH

MEOA mohon industri perladangan dikecualikan daripada pembekuan pekerja asing

28 Jun 2020 / 14:40 H.

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) memohon kerajaan untuk mengecualikan industri perladangan daripada pembekuan pengambilan pekerja asing dan membenarkan mereka yang pulang ke kampung untuk kembali bekerja.

MEOA dalam satu kenyataan hari ini berkata industri perladangan amat bergantung kepada pekerja asing untuk kerja-kerja di lapangan terutamanya dalam proses penuaian buah tandan kelapa sawit.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memburukkan lagi masalah kekurangan pekerja disebabkan penutupan sempadan telah menghalang pekerja daripada pulang ke ladang selepas bercuti dan menghalang pekerja gantian baharu daripada datang.

Kerugian adalah besar dan boleh bertambah buruk, memandangkan terdapat hampir 6 juta hektar ladang kelapa sawit dengan 39 peratus terdiri daripada peladang kecil (lebih kurang 256,000 pekebun kecil bebas). Komoditi perladangan lain seperti getah dan koko turut terjejas.

Satu kajian yang dibuat oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) pada 2018 mendapati industri perladangan dan pertanian mempunyai pergantungan tertinggi kepada pekerja asing dan institut itu menyimpulkan sektor yang mempunyai nisbah kebergantungan yang tinggi akan mendapati sukar bagi menggantikan pekerja asing dengan penduduk tempatan.

Kajian itu juga mendapati jumlah pekerja asing dalam perladangan terus berkurangan kepada 15.6 peratus menjelang 2017, amat kurang berbanding pembuatan (38.7 peratus) dan pembinaan (21.3 peratus); dan sektor perkhidmatan (naik daripada 13.0 peratus pada 2013 kepada 14.8 peratus menjelang 2017).

“Kami ingin memaklumkan kepada pihak menteri bahawa dalam industri tertentu seperti sektor perladangan, rakyat Malaysia enggan membuat kerja seperti yang dipikul oleh pekerja asing. Pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor pertanian dianggap 3D (kotor, berbahaya dan sukar), dan jauh dari kawasan bandar.

“Penduduk tempatan tidak berminat walaupun wujud potensi gaji dan kemudahan yang lebih baik di ladang,” kata MEOA.

Untuk menggalakkan lebih ramai penduduk tempatan memasuki sektor perladangan, pemodenan dan mekanisasi dengan insentif kerja yang berkaitan produktiviti yang lebih baik perlu diadakan.

Sementara itu, MEOA merayu agar kementerian dan agensi yang berkaitan mempertimbangkan kelangsungan hidup serta kemampanan sektor perladangan termasuk industri minyak sawit di Malaysia dan membenarkan syarikat penanam untuk mengambil tenaga kerja asing, selepas usaha mereka untuk mengisi kekosongan kerja tidak mendapat minat dari kalangan warganegara Malaysia.

Berikutan pandemik COVID-19, MEOA turut memohon agar permit pekerja asing yang masih tinggal dalam negara ini diperbaharui dan dilanjutkan sewajarnya.

“Industri perladangan bersedia untuk mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan dan prosedur operasi standard, termasuk ujian COVID-19 dan kuarantin,” kata MEOA. - Bernama

email blast