KUALA LUMPUR: Tekanan tidak boleh diterima sebagai alasan pemain skuad kebangsaan tersingkir awal dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 yang berlangsung di Arena Axiata minggu ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai (foto).

Katanya ada pemain mengatakan mereka tidak lagi seronok bermain badminton kerana berdepan tekanan.

“Kenapa dulu sebelum jadi juara dunia dan pemain di ranking 10 terbaik boleh tangani tekanan? Mereka bukan semalam baru masuk ABM, ada yang dah lapan tahun,” katanya pada sidang media di Arena Axiata, hari ini.

Bagaimanapun Michelle mengakui ia adalah tanggungjawab bersama pemain dan pihak pengurusan ABM untuk mencari jalan mencetuskan kembali perasaan seronok bermain badminton yang diceburi pemain sejak kecil.

Dalam Terbuka Malaysia yang dinaikkan status Super 1000 tahun ini, pasukan negara tidak mempunyai wakil ke separuh akhir apabila kesemua pemain terkandas di peringkat awal, termasuklah juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita nombor enam dunia Pearly Tan-M. Thinaah.

Aaron-Wooi Yik, yang turun sebagai pemain di ranking ketiga dunia, tewas kepada gandingan keenam dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China pada pusingan kedua, manakala Pearly-Thinaah terkandas seawal pusingan pertama kepada gandingan adik-beradik Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.

Michelle berkata walaupun para pemain ABM tidak mempunyai isu disiplin seperti masalah dalam latihan atau pulang ke penginapan lewat malam, tetapi disiplin sahaja tidak cukup untuk menjadikan mereka pemain atau beregu yang hebat di dunia.

Katanya beliau sedia mengambil tanggungjawab ke atas prestasi tidak konsisten pemain kebangsaan, tetapi pada masa sama menuntut pemain untuk melaksanakan peranan mereka sebagai pemain di ranking 10 teratas dunia.

“Kita tidak berhasrat untuk mendenda mereka, ia bukan penyelesaian yang baik. Kita perlu mencari keseimbangan, bagi memastikan pemain seronok bermain. Menangani generasi pemain sekarang tidak sama seperti 10 tahun lepas, kini ia berbeza,” katanya.

Michelle turut menjelaskan bahawa pihaknya bukan kecewa kerana pemain yang diletakkan harapan kalah, tetapi kerana mereka gagal menampilkan keupayaan sebenar di Terbuka Malaysia kali ini.

Beliau mengakui bahawa tidak boleh mengharapkan pemain menang dalam kesemua aksi kerana rekod menunjukkan pemain di ranking 20 terbaik dunia tewas pada pusingan 32 dan 16 terakhir daripada 40-50 peratus kejohanan yang disertai, kecuali perseorangan lelaki nombor satu dunia Viktor Axelsen yang berada dalam kelas tersendiri.

Selain itu, perseorangan lelaki nombor 25 dunia, Ng Tze Yong, 22, hampir mengejutkan pemain nombor tujuh dunia dari Jepun, Kodai Naraoka, namun tewas 21-15, 19-21,15-21 pada pusingan kedua selepas pertarungan lebih 120 minit semalam.

Dalam beregu campuran pula, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kalah kepada Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis pada suku akhir, manakala Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing tewas kepada bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan kedua.

“Kami meletakkan sasaran pusingan kedua bagi Tze Yong tetapi beliau terlepas peluang untuk menewaskan Kodai. Walaupun Tze Yong, tua setahun berbanding Kodai, namun kita mendapati beliau hanya bermain 160 kejohanan, berbanding Kodai yang main lebih 200 dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang mempunyai lebih 400 aksi.

“Jadi kami akan menghantarnya ke lebih banyak kejohanan untuk mendapatkan pengalaman. Bagi beregu campuran, walaupun baru digandingkan, mereka telah tunjukkan aksi yang baik dan bersedia untuk menyerap tekanan,” kata Michelle.

Sementara itu, berhubung persiapan ke Paris 2024, beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan para pemain, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara untuk menyediakan diet khas dan sokongan psikologi kepada pemain.

Katanya pengorbanan daripada pemain sendiri diperlukan untuk merealisasikan impian pingat emas Olimpik pertama negara. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image