LONDON: Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke United Kingdom (UK) berakhir dengan jayanya apabila penggubal dasar di sini telah memberikan komitmen untuk mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam garis panduan terperinci bagi memastikan komoditi yang memasuki negara adalah mampan.

Beliau berkata ini dicapai dalam pertemuan dengan Menteri Negara bagi Perdagangan Antarabangsa Nigel Huddleston dan Menteri Negara bagi Pembangunan Antarabangsa, Andrew Mitchell pada Khamis.

“Mereka sangat positif dan telah memberikan komitmen bahawa MSPO akan menjadi sebahagian daripada dokumen yang akan diiktiraf dalam proses ketekunan wajar (due diligence),” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke United Kingdom pada Jumaat.

“Malahan mereka juga berkata apa yang mereka hendak rencanakan daripada peraturan ataupun garis panduan (guideline) daripada undang-undang mereka itu sendiri, mereka menyatakan apa-apa produk bukan bergantung kepada undang-undang di UK akan berpaksikan kepada undang-undang negara pengeluar,” jelasnya.

Kenyataan mereka itu merupakan satu berita baik untuk Malaysia, kata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

“Sudah pasti kita akan lihat perkara itu secara hitam putih tetapi itu adalah kenyataan awal mereka dan kita tidak sabar-sabar untuk bekerjasama rapat dengan UK,“ kata beliau sambil menambah langkah sedemikian akan membuka lebih banyak peluang perniagaan antara Malaysia dan UK.

Penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang Malaysia adalah antara ahlinya, dijangkakan dalam beberapa bulan ini. Ini adalah perjanjian perdagangan pertama Malaysia dengan UK.

Malaysia telah berunding dengan UK untuk memansuhkan tarif minyak sawit Malaysia daripada 12 peratus pada masa ini kepada sifar sebaik menyertai pakatan perdagangan itu.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan UK mencecah lebih US$7.3 bilion pada 2022, dengan UK mencatatkan lebihan dagangan kira-kira US$786 juta. (US$1=RM4.57)

Bagi 2023, Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjangkakan eksport minyak sawit meningkat 3.7 peratus kepada 16.3 juta tan, dipacu oleh permintaan berterusan dari negara-negara pengimport.

Selain itu, Fadillah berkata Malaysia juga perlu bekerjasama dengan kerajaan UK untuk memperkenalkan undang-undang mencegah pelabelan negatif produk-produk dari Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke UK, Timbalan Perdana Menteri turut mengadakan taklimat di Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) yang merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan Lembaga Getah Malaysia (MRB) berpangkalan di UK.

Beliau juga meluangkan masa untuk berinteraksi bersama pelajar Malaysia di sini.

EU: Perkembangan positif, cabaran kekal

Sementara itu, bagi Kesatuan Eropah (EU), Fadillah berkata walaupun misi bersama Malaysia dan Indonesia untuk menyampaikan kebimbangan dan bantahan terhadap Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang baharu digubal berjaya tetapi cabaran dengan blok rantau ini masih ada.

Sebelum ke UK, Timbalan Perdana Menteri berada di Brussels, Belgium untuk misi bersama di bawah Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC). Indonesia diwakili Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi (KOMENKO), Dr Airlangga Hartarto.

Para pemimpin mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif Rundingan Hijau merangkap Pesuruhjaya Dasar Tindakan Iklim Eropah, Frans Timmermans; Perwakilan Tertinggi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan EU, Josep Borrell-Fontelles dan Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan Virginijus Sinkevičius.

Mereka juga bertemu dengan Heidi Hautala, Ahli Parlimen Eropah (MEP) dalam kumpulan Perikatan Bebas Hijau/European, serta Bernd Lange, MEP dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa.

Pada mesyuarat yang berlangsung, pemimpin Jakarta dan Putrajaya itu mengetengahkan mengenai kesan undang-undang bekalan rantaian nilai dan secara konsisten menekankan perlunya untuk EU melibatkan diri dengan negara pengeluar di peringkat kerja dan teknikal.

Menurut CPOPC, mesyuarat telah dikendalikan secara mesra, berterus terang dan terbuka.

Maklum balas adalah positif kerana EU kini terbuka untuk terlibat sama (engagement), manakala CPOPC telah mencadangkan pasukan petugas yang melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah lebih banyak penglibatan. Paling penting, perlu ada tindakan susulan dalam memastikan perkara yang dibangkitkan dan dibincangkan ditangani dan ada maklum balas,” katanya.

Malaysia dan Indonesia menyumbangkan lebih 80 peratus kepada pasaran eksport minyak sawit global.

Pada masa sama, Fadillah berkata Malaysia perlu bersedia untuk berhadapan lebih banyak undang-undang dan peraturan yang akan diperkenalkan oleh EU.

Sebagai contoh, di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU III (EU RED III), minyak sawit masih dipilih oleh pengawal selia EU sebagai satu-satunya bahan mentah bahan api bio yang mempunyai risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi, dan oleh itu ia akan dihentikan secara berperingkat untuk tujuan pengiraan ke arah sasaran tenaga boleh diperbaharui EU menjelang 2030.

Selain itu, Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat serta Peraturan Melarang Produk Dibuat Dengan Buruh Paksa yang dicadangkan juga berpotensi menjadi halangan perdagangan dan membebankan pengusaha di sepanjang rantaian bekalan, terutamanya pekebun kecil.

Begitu juga, cadangan Arahan Tuntutan Hijau yang mengkehendaki syarikat untuk memberikan bukti saintifik untuk label hijau mereka.

“Namun begitu, secara keseluruhannya misi ke Brussels, Belgium berjaya, apa lagi ia adalah misi bersama pertama ke EU dan saya percaya EU ambil maklum (apa yang kami disampaikan).” - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image