MITI perkenal strategi percepat pemulihan aktiviti perdagangan, ekonomi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memperkenalkan beberapa langkah dan strategi termasuk pengecualian cukai dan elaun cukai pelaburan dalam usaha memulihkan aktiviti perdagangan dan ekonomi negara susulan impak pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Senator Datuk Lim Ban Hong berkata menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia telah memberi pengecualian cukai 100 peratus selama 10 tahun untuk pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan harta tetap antara RM300-RM500 juta.

Menurutnya, langkah lain termasuk pengecualian cukai 100 peratus selama 15 tahun untuk pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan harta tetap melebihi RM500 juta serta elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus selama lima tahun untuk syarikat sedia ada di Malaysia yang memindahkan fasiliti pengilangan luar negara ke Malaysia dengan pelaburan harta tetap melebihi RM300 juta.

“MITI juga memberi galakan Elaun Pelaburan Semula (RA) tambahan bagi tahun taksiran 2020 hingga 2022 untuk syarikat sedia ada dalam aktiviti pembuatan dan pertanian terpilih yang melaksanakan pelaburan semula. Selain itu, kita turut memberi kelulusan lesen pengilangan (ML) secara ‘fast track’ melalui platform digital e-ML untuk industri tidak sensitif dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Sabani Mat mengenai strategi dan langkah segera kementerian memulihkan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Mengulas usaha membabitkan eksport, Lim berkata MITI telah memperkenalkan inisiatif dan strategi menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia seperti program eTRADE untuk membantu syarikat pengeksport mempromosi produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran global menerusi penyenaraian dalam 20 platform e-dagang antarabangsa terpilih.

“Ia turut memperkenalkan inisiatif Geran Pembangunan Pasaran bagi membantu meringankan beban kewangan syarikat pengeksport pengusaha kecil dan sederhana tempatan,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image