PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan telah berlaku kebakaran kecil di bilik sampah di Aras G, Blok Utara, Bangunan Perbendaharaan di sini pada 2.26 petang semalam dan masih menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai punca kejadian itu.

“Kebakaran kecil tersebut telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba dan penyelamat Putrajaya dan disahkan tidak merebak ke kawasan lain di Bangunan Perbendaharaan. Tiada kecederaan dan tiada sebarang kerugian dilaporkan,“ menurut MOF dalam kenyataan semalam.

Kejadian itu turut disahkan oleh Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 M. Surass yang berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.34 petang dan tiga jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Beliau berkata apabila pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada 2.41 petang, pasukan tindakan kecemasan premis itu berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke stor bersebelahan menggunakan lapan unit pemadam api debu kering.

Katanya pihak bomba kemudian mengambil alih serta meneruskan aktiviti pemadaman sebelum operasi ditamatkan pada 3.39 petang dan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber nyalaan serta punca kebakaran dan anggaran kerugian.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz pula berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan jumlah kerugian juga belum dikenal pasti. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image