ISKANDAR PUTERI: Pemain sayap Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim mula berasa tertekan apabila masih belum berjaya menamatkan kemarau jaringan musim ini.

Tekanan itu dirasai selepas beliau gagal mencetak nama sebagai penjaring ketika membantu Malaysia menewaskan Turkmenistan 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Mohamad Faisal yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ menyifatkan situasi tersebut mengecewakan, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja keras bagi memburu jaringan yang dicari-cari.

“Sudah tentu sebagai pemain saya agak tertekan sebenarnya memikirkan untuk menjaringkan gol tetapi yang penting saya tetap gembira kerana pasukan menang. Mungkin belum ada rezeki (gol) saya, mungkin saya perlu lebih bekerja keras dan berdoa.

“Saya hanya inginkan satu gol sahaja untuk mendapat sentuhan dan meledak gol seterusnya, malam ini (malam tadi) saya mempunyai peluang tetapi tiada rezeki,” kata pemain Selangor berusia 25 tahun itu pada sidang media selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Akhyar Abdul Rashid menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke-29 sebelum penjaga gol lawan, Rasul Charyyev bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Mohamad Faisal.

Di peringkat kelab, Mohamad Faisal yang berpindah dari Terengganu ke Selangor musim ini sudah membuat lima penampilan bersama Gergasi Merah dalam saingan Liga Super, namun belum berjaya membuka ‘akaun’ jaringan.

Musim lalu, beliau mengumpul keseluruhan 11 gol dalam kempen Liga Malaysia - enam gol dalam Liga Super, Piala FA (tiga) dan Piala Malaysia (dua), selain menjaringkan sembilan gol dalam kesemua aksi bersama pasukan negara termasuk empat gol pada Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Dalam pada itu, Mohamad Faisal menyifatkan pasukan ketika ini berada pada tahap lebih tinggi dengan kehadiran barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang disifatkan sebagai pemain berkualiti, selain memuji kemudahan latihan dan venue perlawanan di Johor.

“Kita tak boleh nafikan lagi semua pemain berada pada tahap terbaik seperti pemain-pemain JDT dan saya agak bertuah berada dalam senarai yang dipilih kali ini kerana berpeluang berlatih di Johor, dapat gunakan fasiliti terbaik.

“Sebagai pemain, ini (fasiliti terbaik) yang kita perlukan untuk membantu pasukan beraksi lebih baik. Apa pun kita masih ada satu lagi tugasan berdepan Hong Kong yang memerlukan tumpuan semua pemain kerana setiap perlawanan cabarannya berbeza,” katanya.

Anak buah Pan Gon akan menentang Hong Kong pada 28 Mac di sini, pada penghujung jendela perlawanan antarabangsa FIFA. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image