KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada Isnin akan membuka keyakinan pelabur asing baharu untuk mengintai peluang di Malaysia, kata penganalisis ekonomi.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata negara kini memerlukan pelaburan asing yang bernilai besar sekali gus akan menambah pelaburan sedia ada untuk merancakkan semula sektor ekonomi.

Beliau berkata langkah menerusi MoU itu juga akan mempengaruhi keyakinan kalangan pelabur dalam pasaran saham yang sebelum ini mengalami prestasi tidak menentu akibat ketidakstabilan politik dalaman negara.

“Ia turut dijangka mengembalikan kestabilan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 di samping mewujudkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan pelabur malah rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata MoU itu merupakan tindakan luar biasa, yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana blok pimpinan pentadbiran kerajaan Persekutuan, dan kini ia dilaksanakan oleh kerajaan yang ditadbir pimpinan Ismail Sabri.

“Pada pandangan saya, sukar untuk mana-mana kerajaan membuka ruang dan menghulurkan salam perdamaian politik. Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri sangat terbuka, komited dan mengutamakan suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata meskipun penggal Parlimen ke-14 hanya berbaki satu tahun enam bulan sahaja, namun jelas dilihat pembangkang turut menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu kerajaan merealisasikan pelbagai usaha memerangi pandemik dan memulihkan ekonomi negara.

“Bagi saya, yang penting adanya perancangan jelas untuk memberi impak jangka panjang dan pendek kepada pemulihan ekonomi negara.

“Paling penting ekonomi perlu dipulihkan biar siapa pun yang mentadbir urus kerajaan, setiap impak dasar pemulihan khususnya dari segi ekonomi wajib mengubah kehidupan rakyat agar menjadi lebih baik, keluar daripada kesukaran hidup dan kemelaratan,” katanya.

Mohammad Tawfik turut berpandangan, bantuan kerajaan tidak boleh lagi berbentuk sekali bayar tetapi perlu dalam bentuk menyediakan persekitaran kerja dan ekonomi yang bersifat berdikari kepada rakyat.

Misalnya, penyediaan peluang keusahawan, pengecualian cukai, bantuan peralatan untuk perniagaan serta pertanian moden khususnya di kawasan bandar, katanya.

“Sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan belanja dapur harian menerusi kebun bandar di rumah,” katanya.

Beliau dalam pada itu yakin usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan peniaga kecil baharu dan sedia ada akan meraih manfaat besar sekiranya kesemua tawaran tersebut berjaya direalisasikan sepenuhnya.

“Mereka terdiri daripada kumpulan B40 yang merupakan peringkat asas kepada rantaian ekonomi lain di peringkat lebih tinggi.

“Jika peringkat asas ekonomi diperkukuh semula, kita dapat kembalikan kestabilan dan merancakkan pemulihan di pelbagai sektor ekonomi di Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ismail Sabri berkata memorandum berkenaan yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda.

Agenda berkenaan merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image