KUALA LUMPUR: Mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia.

Peranan PN itu adalah selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen, kata Muhyiddin semasa menzahirkan ucapan itu menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

“Dengan kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan, PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.

“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” kata Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu.

Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, semalam.

Keputusan PRU15 pada 19 Nov lepas menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti politik mendapat majoriti mudah dengan PH memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu. - Bernama