LANGKAWI: Dapat kembali ke sekolah selepas lebih lima bulan adalah sesuatu yang menggembirakan buat murid-murid tahap satu sekolah rendah di sini.

Tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting, mendapati murid-murid Tahun Satu, Dua dan Tiga, ceria dan bersemangat dapat hadir ke sekolah, yang dibuka semula hari ini.

Mereka juga dilihat sudah biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diamalkan sebelum ini.

Guru-guru dan petugas sokongan sekolah turut kelihatan bersemangat, walaupun sebahagian mereka menaiki bot dari Pulau Langkawi, untuk ke sekolah tersebut.

Seorang pelajar Tahun Tiga Muhammad Akif Firas Mohd Khairul Anuar, 9, berkata dia bangun seawal pukul 6 pagi kerana teruja untuk ke sekolah.

“Saya rindu kawan-kawan saya. Sebelum ini PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), sekarang saya nak belajar dengan cikgu,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Murid tahap satu di Langkawi adalah kumpulan pertama dari sekolah rendah yang kembali ke sekolah untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka, setelah sekolah ditutup sejak Mei lepas sebagai langkah mengawal pandemik Covid-19.

Kementerian Pendidikan sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah rendah bagi murid tahap satu di negeri-negeri yang telah mencapai Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), dan Langkawi yang terlibat dengan gelembung pelancongan sejak 16 Sept lepas, dikategorikan sebagai Fasa Empat, meskipun Kedah hanya akan melangkah ke Fasa Tiga bermula esok.

Pelaksanaan itu bermula di Langkawi hari ini, manakala Negeri Sembilan serta Labuan akan bermula esok.

Negeri-negeri lain djangka melakukan langkah sama selepas dua minggu peralihan kepada Fasa Empat.

Sementara itu, murid Tahun Satu, Muhammad Syakirin Abdul Haqq, 7, berkata tujuan dia ke sekolah adalah untuk belajar bersama kawan-kawan kerana telah lama menjalani PdPR.

Menurut murid Tahun Dua Nur Elysa Maisara Muhammad Shukor, 8, pula, ketika PdPR beliau hanya membuat kerja sekolah, justeru baginya belajar di sekolah adalah lebih baik.

Selain itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Syahazam Shaidan berkata ibu bapa teruja kerana akhirnya sekolah rendah kembali dibuka.

Katanya pembelajaran pelajar banyak terganggu ketika PdPR, di samping hubungan anak-anak dengan guru perlu dieratkan semula.

“Ibu bapa sambut baik. Belajar di sekolah tak sama seperti di rumah. SOP pun sekolah sentiasa patuhi,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image