KUALA LUMPUR: Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya medan selera, gerai serta warung di seluruh negara dinaik taraf dan diperindah merupakan langkah proaktif yang dilihat mampu memberi kebaikan kepada golongan rakyat terbanyak.

Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Suhardi Maulan berkata seruan Perdana Menteri itu bertepatan kerana memenuhi cita rasa budaya rakyat yang suka menjamu selera di medan selera, gerai serta warung bersama keluarga.

Beliau berkata justeru, tempat yang sering menjadi tumpuan rakyat terbanyak untuk menikmati pelbagai juadah bersama keluarga itu perlu sentiasa bersih, indah dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Bagi saya, pandangan Perdana Menteri itu memang bagus sebab apabila kita makan sudah pasti mahukan suasana yang nyaman dan keselesaan ini boleh dilihat dari segi tempat makan itu dijaga bersih dan susun atur yang kemas.

“Oleh itu, bagi mewujud dan mengekalkan suasana ini, perlu ada penjagaan medan selera yang berkesan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang boleh menjaga kawasan tersebut melalui pemantauan berterusan.

Suhardi berkata pelaksanaan itu juga perlu melibatkan pelbagai pihak lain seperti Jabatan Kesihatan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang disajikan di medan selera, gerai dan warung terus terpelihara.

“PBT mesti ada garis panduan jelas macam mana sesebuah medan selera itu dibangunkan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga operasinya yang boleh jadi panduan jelas untuk dilaksanakan di seluruh negara.

“Selain itu, PBT atau pemilik persendirian perlu melihat reka bentuk kawasan medan selera itu. Dari segi pergerakan angin atau pengalihan udara yang bagus dan pencahayaan yang baik perlu ditekankan,“ katanya.

Mengulas lanjut, pensyarah di Jabatan Senibina Landskap UPM itu berkata penambahbaikan visual atau reka bentuk medan selera yang mempunyai keunikan tersendiri boleh menarik ramai pelancong datang untuk menikmati suasana setempat.

“Kita kena faham juga sesetengah elemen tempatan perlu diambil kira, mungkin medan selera di Kuala Lumpur berbeza dengan Terengganu. Sekiranya karakter tempatan diketengah seperti di Jalan Petaling berkonsepkan China manakala di Kampung Baru dibuat reka bentuk Melayu, sudah pasti mempunyai identiti yang tersendiri.

“Kalau kita lihat di Singapura, mereka menjadikan medan selera ringkas dan polisi yang ditetapkan adalah mementingkan kebersihan sehinggakan medan selera mereka terkenal, sering kali dijadikan contoh serta diuar-uarkan sebagai imej tempatan dan menjadi antara tarikan pelancong,“ katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Malaya Dr Nikmatul Adha Nordin pula berkata medan selera adalah tempat tumpuan rakyat dan diwujud bagi memenuhi keperluan setempat.

Beliau berkata apabila proses naik taraf medan selera dilaksanakan, ia perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk harga makanan, suasana, fasiliti dan akses yang bersesuaian serta mudah kepada rakyat.

Nikmatul Adha berkata langkah itu perlu bagi mengetepikan sebarang persepsi negatif terhadap perubahan yang dilakukan terhadap medan selera.

“Mungkin ada juga beranggapan perubahan struktur ini menyebabkan kehilangan suasana warung yang sudah sebati dengan budaya sosial masyarakat kita dan dibimbangi perubahan fizikal medan selera kepada yang lebih cantik turut memberikan persepsi bahawa kedai makan itu mahal,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image