PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan ke atas hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ini adalah selepas, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu selepas mendengar hujahan ketua peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram.

Lain-lain hakim yang merupakan ahli panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata permohonan untuk memasukkan bukti tambahan itu tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Kami berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. Kami mendapati permohonan ini tidak mematuhi keperluan undang-undang. Tiada kesilapan untuk dirayu. Dalam keadaan ini, permohonan ini ditolak,” kata Tengku Maimun.

Tengku Maimun berkata mahkamah tidak nampak bagaimana bukti yang ingin dikemukakan relevan kerana dakwaan berkaitan bukti itu merujuk kepada satu perbicaraan yang masih belum selesai di Mahkamah Tinggi, iaitu perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan kes ini.

“Kami tidak bersetuju dengan perayu (Najib) bahawa kaitan dengan bukti itu perlu dinilai menerusi ‘isu-isu’ berkenaan sahaja tanpa perlu melihat kepada pertuduhan atau pertuduhan-pertuduhan. Pada pandangan kami, isu-isu dalam sesebuah kes adalah sukar untuk dipisahkan hubungannya kepada pertuduhan atau pertuduhan-pertuduhan.

Isu-isu itu tidak asing dari segi konsepnya daripada isu-isu yang akan dibicarakan dalam sebuah kes sivil yang mengaitkan kembali punca tindakan merayu dalam rayuan.

Isu-isu dalam kes jenayah sebagai contoh mengaitkan kembali kepada pertuduhan dan unsur di dalam pertuduhan. Di sini isu yang menjadi persoalan ialah pengetahuan perayu berhubung dana berjumlah RM42 juta itu.

Kami tidak nampak bagaimana cadangan bukti tambahan relevan kepada pengetahuan tentang isu,” kata beliau sambil menambah permohonan untuk mengemukakan bukti baharu gagal menentukan dengan pasti bentuk bukti yang akan dikemukakan.

Bahkan beliau berkata afidavit sokongan dan afidavit sokongan selanjutnya mengenai usul itu tidak menjelaskan rasional untuk memanggil saksi-saksi atau apakah fakta yang akan saksi-saksi berkenaan memberi keterangan.

Tengku Maimun selanjutnya berkata mahkamah juga mendapati saksi-saksi berkenaan ada semasa perbicaraan dan bahkan ditawarkan pihak responden (pendakwaan) untuk pemeriksaan balas dan temu bual tetapi Najib enggan untuk melaksanakan pilihan itu.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan telah memberikan satu pendengaran yang adil sebelum menolak permohonan bukti tambahan, tidak seperti yang dihujahkan oleh peguam Najib.

“Setelah membaca dengan teliti nota prosiding di Mahkamah Rayuan dan memeriksa Transkrip Rakaman Mahkamah (CRT) kami mendapati peguam Najib telah diberikan masa yang cukup untuk berhujah di mahkamah.

Secara tepatnya daripada CRT, didapati peguam perayu diberikan masa satu jam 22 minit untuk berhujah sementara Timbalan Pendakwa Raya diberikan masa 63 minit.

“Kami dapati masa satu jam 22 minit perayu dihabiskan untuk hujahan balas. Ini adalah kerana peguam Najib, Tan Sri Shafee menolak cadangan Mahkamah Rayuan untuk berhujah di permulaan. Justeru, kami mendapati tiada prejudis ke atas perayu dan tidak dinafikan hak untuk didengar, “ katanya.

Berkenaan peraturan untuk melaksanakan prosiding sepenuhnya secara maya atau sebahagiannya secara hibrid, beliau berkata Mahkamah Rayuan menggunakan budi bicaranya dengan betul untuk menggunakan Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Tengku Maimun berkata pasukan perundangan yang dikuarantin kerana COVID-19 pada masa itu masih boleh mendapatkan dokumen mahkamah menerusi teknologi moden.

Biarpun kami bersimpati dengan keadaan beberapa ahli pasukan Tan Sri Shafee didapati positif COVID-19 dan Tan Sri Shafee sendiri adalah kontak rapat, kami mendapati Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 diluluskan untuk mengatasi isu ini dengan membenarkan kehadiran secara maya berbanding kehadiran secara fizikal.

“Sebarang isu teknikal berkaitan akses kepada dokumen boleh diselesaikan dengan menggunakan teknologi tetapi perlu diingat bahawa perayu yang memfailkan permohonan begitu hampir dengan tarikh keputusan rayuan substantif.

Dalam keadaan ini kami mendapati perayu tidak dinafikan haknya untuk didengar dan hak untuk satu perbicaraan yang adil tidak tergugat,” kata Ketua Hakim Negara.

Najib, 68, membuat permohonan berikutan siaran akhbar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Nov lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura.

Kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya kerana Najib telah gagal secara kumulatif untuk memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman bahawa bukti baharu diperlukan untuk menegakkan keadilan dalam kes itu.

Pada keesokan harinya, mahkamah sama mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib kerana didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta SRC, selepas ia menolak rayuan Najib ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Selepas keputusan itu, Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image