KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah membertahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sekiranya beliau perdana menteri, beliau pasti akan mengambil tindakan apabila wang US$700 milik 1Malaysia Development Berhad’s (1MDB) dipindahkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho or Jho Low.

Ahmad Husni, 70, berkata beliau akan mengambil tindakan segera, dan mendakwa pindahan itu akan akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata apabila beliau mendapat tahu bahawa wang itu dipindahkan kepada Good Star Limited dan bukannya terus kepada PetroSaudi International (PSI), beliau telah bertanya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, namun bekas perdana menteri itu hanya mendiamkan diri, dan tidak menunjukkan sebarang reaksi atau mengambil sebarang tindakan mengenainya.

“Sekiranya saya pemimpin tertinggi, pasti saya akan terperanjat dan saya akan mengambil tindakan, tapi dia relaks je,” kata saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sebelum ini mahkamah diberitahu bahawa pada 30 Sept 2009, sebanyak US$700 juta telah dipindahkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh ahli perniagaan itu.

“Datuk Seri Najib tidak bimbang dengan perkara itu. Saya jumpa dia beberapa kali, tapi tiada tindakan yang diambilnya,” kata Ahmad Husni.

Muhammad Shafee: “Sebagai PM (Perdana Menteri) tanpa ‘engagement’ dengan syarikat iu, bagaimana dia nak ambil tindakan?”

Ahmad Husni: Dia boleh hubungi pihak pengurusan, boleh ketepikan mereka (pengurusan), tapi tiada tindakan juga, dia relaks je.

Muhammad Shafee kemudian berkata keterangan saksi itu bagaikan menghina perdana menteri ketika itu, namun Husni menafikannya.

Husni juga berkata segalanya dalam 1MDB adalah di bawah kuasa Najib, termasuk kelulusan untuk pelaburan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image