PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak pernah mengemukakan sebarang pertanyaan kepada AmBank berhubung dana dalam jumlah yang besar sentiasa keluar masuk ke akaun bank peribadinya sehingga beliau menutup akaunnya pada 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bank itu atas dakwaan dana dikredit dan didebit secara salah ke akaunnya.

“Keterangan dua pegawai AmBank iaitu Uma Devi Raghavan dan Joanna Yu Ging Ping menunjukkan Najib tidak pernah membuat sebarang pertanyaan kepada AmBank apatah lagi membuat sebarang aduan berhubung jumlah dana yang besar yang sentiasa keluar masuk akaunnya.

“Malah, perayu (Najib) tidak mempunyai masalah dengan baki banknya sehingga menutup akaunnya pada Mac 2015,“ katanya pada prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadap penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Selain itu, Sithambaram berkata Najib telah menugaskan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan Allahyarham Datuk Azlin Alias ​​(ketika itu setiausaha sulit Najib) untuk memastikan dana mencukupi dalam akaunnya.

Beliau berhujah bahawa pemindahan dana itu atas arahan perayu oleh ketiga-tiga mereka dan perayu yang mendapat manfaat daripada RM42 juta dikreditkan ke akaunnya.

“Satu-satunya isu ialah sama ada perayu mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta dalam akaunnya semasa ia diterima. Walau apa pun, mengelak daripada mengambil tahu untuk mengelak daripada melakukan kesalahan bukanlah satu pembelaan,“ katanya.

Sithambaram berkata berdasarkan keseluruhan keterangan, Ahli Parlimen Pekan itu membelanjakan dana itu untuk kepentingannya sendiri dan sudah tentu beliau mengetahui mengenai RM42 juta dalam akaunnya.

Timbalan Pendakwa Raya itu berhujah adalah sia-sia bagi Najib mahu mahkamah mempercayai bahawa beliau tidak mengetahui tentang RM42 juta yang dikreditkan ke dalam akaun banknya kerana ia bukan jumlah yang kecil.

Bagaimanapun beliau berkata antara Jun 2014 dan Februari 2015, Najib mengetahui bahawa beliau hanya mempunyai RM49 juta daripada derma yang didakwa dari Arab.

“Itu juga beliau telah habiskan kecuali kira-kira RM6 juta, terdiri daripada deposit tunai RM5 juta (bukan derma Arab) sebelum RM42 juta itu. Oleh itu, RM42 juta yang masuk dalam akaunnya akan menjadi 100 peratus pertambahan dana.

“Namun, perayu mengatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang RM42 juta ini. Tiada siapa yang boleh membelanjakan wang daripada apa yang dia ada dan mendakwa bahawa beliau tidak tahu tentang dana yang dibelanjakannya. Malah apa yang dikatakan derma Arab yang telah habis itu tidak membantu naratif perayu,” tegasnya.

Perbicaraan bersambung pukul 3 petang. - Bernama