KUALA LUMPUR: Pasukan Negeri Sembilan FC terus memberikan tentangan sengit dalam perebutan kejuaraan Liga Super setelah menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City) 2-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Gustavo Dos Santos muncul wira pasukan itu, selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-11 dan minit ke-62, bagi memastikan skuad kendalian K. Devan itu terus merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas liga.

PJ City yang bermain di halaman sendiri ternyata gagal memanfaatkan peluang itu, sebaiknya apabila tidak berhasil menjaringkan sebarang gol sehingga wisel penamat ditiup.

Di Terengganu, Terengganu FC (TFC) berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan Sarawak United, pada aksi berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Skuad Penyu berjaya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi pemain import kelahiran Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-71.

Di Melaka, Melaka United terpaksa berpuas hati mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi di Stadium Hang Jebat.

Melaka United terlebih dahulu mendahului dengan dua gol masing-masing disumbangkan Ifedayo Olusegun pada minit ke-38 dan Adriano Narcizo minit ke-51, sebelum dikejutkan dengan jaringan penyamaan pemain Sri Pahang, David Rowley (minit ke-87) dan Shahrul Nizam Nadzir (minit ke-90).

Sementara dalam aksi Liga Premier, jaringan tunggal Muhammad Feroz Baharudin pada babak pertama memasuki minit kecederaan, memastikan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menewaskan Perak FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kelantan FC pula menewaskan PDRM FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image