KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering, di sini hari ini.

Mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering dekat sini, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata kehilangan warga emas itu hanya disedari rakannya pada jarak empat batu nautika dari pangkalan di Chendering.

“Sebaik menerima laporan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot Perkasa 1234.

“Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk komuniti nelayan dan maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sebagai langkah keselamatan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image